Khamis, Mac 10, 2011
CINTA DARI PANDANGAN IMAM AL SHAFIE
IMAM Al-Syafie banyak memberi pedoman dalam memilih kawan. Beliau juga mengakui sukar mencari sahabat sejati yang mahu berkongsi suka duka bersama.
Ketika menilai sahabat sejati pada waktu susah, katanya: “Kawan yang tidak dapat dimanfaatkan ketika susah lebih mendekati musuh daripada sebagai kawan.
“Tidak ada yang abadi dan tidak ada kawan yang sejati kecuali yang menolong ketika susah.”
“Sepanjang hidup aku berjuang bersungguh-sungguh mencari sahabat sejati hingga pencarianku melenakanku.
“Kukunjungi seribu negara, namun tidak satu negara pun yang penduduknya berhati manusia.”
Imam Al-Syafie turut meminta kita berhati-hati memilih sahabat kerana sahabat yang baik akan membawa ke arah kebaikan dan begitu sebaliknya.
Katanya: “Jika seseorang tidak dapat menjaga nama baiknya kecuali dalam keadaan terpaksa, tinggalkanlah dia dan jangan bersikap belas kasihan kepadanya.
“Banyak orang lain yang dapat menjadi penggantinya. Berpisah dengannya bererti istirehat.
“Dalam hati masih ada kesabaran buat kekasih, meskipun memerlukan daya usaha yang keras.
“Tidak semua orang yang engkau cintai, mencintaimu dan sikap ramahmu kadangkala dibalas dengan sikap tidak sopan.
“Jika cinta suci tidak datang daripada tabiatnya, tidak ada gunanya cinta yang dibuat-buat.
“Tidak baik bersahabat dengan pengkhianat kerana dia akan mencampakkan cinta setelah dicintai.
“Dia akan memungkiri jalinan cinta yang terbentuk dan akan menampakkan hal yang dulunya menjadi rahsia.”
Seseorang itu juga dapat menundukkan musuhnya dengan menunjukkan rasa persahabatan.
Imam Al-Syafie dalam hal ini berkata: “Ketika aku menjadi pemaaf dan tidak mempunyai rasa dengki, hatiku lega, jiwaku bebas daripada bara permusuhan.
“Ketika musuhku berada di hadapanku, aku sentiasa menghormatinya. Semua itu kulakukan agar aku dapat menjaga diriku daripada kejahatan.
“Aku nampakkan keramahan, kesopanan dan rasa persahabatanku kepada orang yang kubenci, seperti aku nampakkan hal itu kepada orang yang kucintai.”
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
0 ulasan:
Catat Ulasan